
Presidennya Azih Muda berkata usaha yang dibuat seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), mampu melonjakkan negara menjadi sebuah negara maju dalam tempoh enam tahun lagi.
"Sasaran kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai pendapatan perkapita sehingga USD15,000 menjelang tahun 2020 akan menjadi kenyataan," katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas Laporan Tahunan GTP dan ETP 2013 yang dilancarkan Perdana Menteri Isnin lepas antara lain berkata GTP 2.0 berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan pada 2013 dengan keberhasilan ketara dalam pengupayaan ekonomi individu dan masyarakat.
Najib juga berkata fakta kejayaan itu boleh dilihat melalui pelbagai manfaat besar yang telah dinikmati rakyat, termasuk melalui pemberian tambahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 melibatkan peruntukan berjumlah RM2.91 bilion yang dinikmati lebih 4.8 juta isi rumah berpendapatan rendah.
Azih berkata bantuan BR1M sebahagian kecil adalah penerima penjawat awam yang masih lagi berpendapatan rendah.
"Harapan kita selepas ini melalui pakej yang sedang dirancang kerajaan, bukan sahaja merubah landskap rakyat, tetapi mahu melonjakkan sektor awam itu sendiri bersama sektor swasta berganding bahu dalam Strategi Lautan Biru.
"Kita yakin di bawah strategi kerajaan itu ia akan memberi lonjakan yang berganda," katanya.
-- BERNAMA